My Follower

Sabtu, 19 Januari 2019

Hutang Dan Sedekah

Seorang lelaki telah gagal menguruskan hutangnya apabila perniagaannya bermasalah. Hari-hari pengutip hutang mencarinya sama ada di pejabat mahupun di rumah. Keadaan menjadi lebih parah apabila isterinya minta diceraikan kerana tidak sanggup tinggal dalam keadaan tertekan sebegitu.



Sewaktu senang dulu, dia disibukkan dengan urusan bisnes. Urusan rumah tangga diserahkan bulat-bulat kepada isterinya. Emak dan ayah di kampung pula jarang sekali ditanyakan khabar mereka apatah lagi pulang ke kampung menjenguk mereka.

Dia malu nak pulang ke kampung menghadap emak dan ayahnya. Kawan-kawan yang sama-sama bersukaria dulu pula hilang entah ke mana. Hasrat isterinya ditunaikan dengan talak 1.

Dia berusaha pelbagai cara bagi melunaskan hutang-hutangnya tetapi semuanya menemui jalan buntu. Dalam keputus-asaan dia nekad membunuh diri. Ketika mahu menggantungkan diri, azan berkumandang dan menyedarkan dirinya. Dia turun dari kerusi dan mengambil wuduk untuk solat. Selepas seketika itu dia mendengar pula ceramah agama dari masjid berdekatan rumahnya itu yang kebetulannya sedang berbicara tentang cara mengatasi kesusahan.

Keesokkannya dia pergi ketemu ustaz untuk mendapatkan pandangan ustaz apa lagi yang dia harus lakukan untuk menyelesaikan masalah hutangnya itu. Ustaz kata periksa semula hubungan dia dengan Allah, hubungan dia dengan ibu bapa dan hubungan dia dengan orang lain. Mohon ampun pada Allah dan mohon maaf pada mereka yang telah dia berbuat salah.

Dia datang lagi bertemu ustaz. Dia kata sudah macam-macam perkara dia lakukan. Antaranya, dia sudah memohon taubat pada Allah dan meminta maaf pada orang-orang yang telah dia berbuat salah.

Lalu ustaz itu berkata, bersedekahlah. Dia terkesima.

Bagaimana mahu bersedekah sedangkan duitnya sahaja cukup-cukup untuk dirinya? Itulah yang terdetik di hatinya ketika itu.

Setelah berfikir, dia mencari orang yang susah, bertemu pengurusan sekolah pondok dan anak yatim yang memerlukan. Dia panggil mereka ke rumahnya dan menyedekahkan barang-barang rumahnya yang pernah menjadi simbol kesombongan dia. Dia rasa puas walaupun rumahnya hampir kosong. Hari-hari dia menjaga ibadat dan bersedekah dari segi kudrat, dan apa sahaja yang mampu menyenangkan orang lain.

Dia menemui ketenangan apabila melakukan semua itu meskipun masalahnya belum diselesaikan. Dia bersangka baik pada Allah dan tidak berhenti berdoa. Antaranya doa yang diajarkan Nabi shollallahu ’alaih wa sallam kepada sahabatnya, Abu Umamah radhiyallahu ’anhu :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ


وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَل


وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ


وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ لدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ


Bermaksud:

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari bingung dan sedih. Aku berlindung kepada Engkau dari lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari pengecut dan kikir. Dan aku berlindung kepada Engkau dari lilitan hutang dan kesewenang-wenangan manusia.”

Pada satu hari, kawan lamanya mencari dia. Dia tidak lagi lari atau menyorokkan diri seperti sebelum ini. Dia sambut kawannya itu dengan senyuman dan mengajak masuk ke rumah. Di dalam rumah, kawannya melihat hanya barang keperluan asas sahaja yang ada. Dia masih tersenyum.

Kawannya itu seorang usahawan berjaya mahu menyatakan hajat bertemu dia. Kawannya itu memerlukan khidmat kepakaran dia menguruskan bersama satu projek bandar baru. Dia menolak kerana risau tidak dapat beri komitmen kerana masalah hutangnya itu. Tetapi jika kawannya itu boleh membantu masalah dia, dia mahu bekerjasama.

Kawannya itu tidak ragu-ragu dan memberikan dia cek. Kawannya berkata:

“Ambil cek ini. Gunalah pendahuluan 3 bulan bayaran khidmat kepakaran kamu ini untuk selesaikan masalah hutang itu.”

Lagi sekali dia terkesima dan kali ini disusuli sujud syukur dan air mata. Hanya “terima kasih Ya Allah… alhamdulillah” diucap berulang-ulang kali dari mulutnya.

Noktah.

Manusia tidak jemu memohon kebaikan dan jika mereka ditimpa malapetaka, dia menjadi putus asa dari berusaha.

Janganlah kita berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.

Melalui surah al-Baqarah ayat 280 yang bermaksud “Dan jika (Orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan, dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”

Mungkin ramai yang berasa berat hati untuk bersedekah ketika waktu susah kerana memikirkan ketidakcukupan yang akan berlaku apabila bersedekah. Namun, jika kita benar-benar yakin dengan rahmat dan kuasa Allah, pasti kita berasa ringan melakukannya.

Sewaktu bersedekah itu, niatkan di dalam hati pemberian itu sedekah dan memohon kepada Allah untuk membantu dan memudahkan hal melunaskan hutang-hutang kita.






Tiada ulasan: