My Follower

Isnin, 4 Februari 2019

Sedekah selesai masalah, tingkat takwa

SETIAP perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT pasti ada hikmah dan manfaatnya. Begitu juga masalah dan cabaran dalam kehidupan ini, tidak akan terjadi secara sia-sia melainkan untuk mengambil natijah daripada apa yang berlaku.


Keindahan Islam akan dapat dicapai oleh mereka yang mengamal dan merasai manisnya nikmat hidup beragama. Justeru, apa sahaja yang dilakukan dalam kehidupan ini mestilah berlandaskan pedoman ajaran agama Islam.

Pelbagai intepretasi diberi terhadap definisi masalah atau ujian. Ada melihat masalah sebagai ujian, justeru, terbinalah kata-kata hidup ini tempat untuk menerima ujian. Ada mengatakan hidup ini untuk menyelesaikan masalah.

Hakikatnya, apa sahaja yang kita fahami mengenai ujian dalam kehidupan, ia memerlukan saluran iman tinggi untuk melihat setiap kemanisan yang datang di sebalik segala kepahitan yang berlaku.

Bagaimana manusia mahu mendepani masalah atau ujian yang mendatangi? Allah SWT telah menunjukkan caranya iaitu melihat ujian dengan pandangan yang positif. Begitu juga telah dibuktikan oleh Rasulullah SAW dalam meleraikan permasalahan dengan cara bersedekah.

Oleh itu, jika Allah SWT mengurniakan apa juga ujian dalam hidup ini, Dia juga memberi kebaikan di sebaliknya. Setiap perkara yang kita anggap masalah pasti ada manfaat tersembunyi yang kebaikannya adalah untuk manusia juga.

Begitu juga perkara yang diperintahkan oleh-Nya adalah untuk manfaat dan kebaikan manusia. Bahkan, setiap penderhakaan yang manusia lakukan kesannya juga kepada diri mereka. Apa yang pasti, setiap ketaatan akan ada kemanisan dan setiap penderhakaan membawa kepada penyesalan.

Amalan yang Allah SWT perintahkan ada keistimewaan tersendiri. Solat atau puasa terkandung kebaikan dan keistimewaannya, sedekah juga ada kelebihan iaitu boleh menyelesaikan masalah.

Prinsip asas sedekah sangat sinonim dengan ketakwaan dan tanda bagi orang bertakwa adalah rajin bersedekah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Mereka yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat, dan menafkahkan (infak) sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka." (Surah al-Baqarah, ayat 3)

Apabila kita menjadi orang yang murah dengan sedekah, bererti adanya kejujuran dalam melaksanakan perintah Allah SWT dan juga tanda ketakwaan kepada-Nya.

Sedekah bukan hanya dengan material semata-mata, tetapi boleh jadi dalam bentuk lain seperti memberi senyuman, melemparkan kata-kata baik, meluangkan tenaga dan waktu.

Sedekah suatu yang amat ajaib dan dapat dibuktikan dengan fadilat amalan itu seperti diterangkan dalam al-Quran dan hadis. Sekurang-kurangnya setiap harta yang dikeluarkan ke jalan Allah SWT akan dibalas dengan perkiraan melebihi 700 pahala.

Selain itu, mereka dijanjikan dengan kehidupan yang mudah, tenang dan perjalanan hidup diberkati kerana keberkatan bersedekah itu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Bersedekahlah, Allah SWT akan menambah serta melipatgandakan rezeki. Nabi SAW bersabda: "Tangan yang di atas (memberi sedekah) lebih baik daripada tangan yang di bawah (menerima sedekah)." (Riwayat al-Bukhari)





Tiada ulasan: