Hari ini ramai yang merasa cukup selesa dan gembira kerana memperolehi pendapatan bulanan yang stabil dengan jumlah gaji yang baik dan lumayan.
Ramai juga berjaya meraih pendapatan sampingan mencecah ribuan hingga belasan ribu ringgit sebulan. Bahkan ada yang boleh berbangga dengan kejayaan mereka yang pernah mengaut keuntungan RM1 juta dalam perniagaan mereka.
Namun begitu, itu kisah memperolehi pendapatan.
Ramai yang berjaya mendapatkan pendapatan dan wang yang banyak tetapi berapa ramai yang boleh menguruskan wang mereka dengan lebih baik dan efektif?
Saya percaya tidak ramai bukan?
Ini kerana ilmu mendapatkan wang dan juga ilmu pengurusan wang adalah dua perkara yang berbeza.
Mendapatkan wang satu perkara yang penting tetapi menguruskan wang dengan efektif adalah perkara yang lebih penting!
Memperolehi wang yang banyak belum tentu membuatkan kewangan kita berada dalam kedudukan kewangan yang baik dan stabil.
Ini kerana lebih ramai orang yang berhadapan dengan masalah kewangan sebaik sahaja memperolehi wang yang banyak.
Kenapa begitu? Mungkin ada di antara kita yang tertanya-tanya. Sudah tentu jawapannya kerana gagal menguruskan wang dengan baik dan teratur.
Semua orang tahu yang wang itu tidak mudah untuk diperolehi. Ini kerana ianya tidak tumbuh semudah daun-daun di pohon kayu.
Namun begitu adalah tidak mustahil untuk kita membuatkan ianya tumbuh dengan baik jika kita tahu teknik bagi menguruskannya dengan bijaksana.
Persoalannya "Bagaimana untuk menguruskan wang dengan efektif?"
Masih ramai yang tidak jelas dengan perkara ini. Kita dapat lihat ramai orang yang membuat wang dan menguruskannya dengan cara yang tersendiri tetapi hakikatnya tidak faham dengan apa yang telah mereka lakukan.
Dengan mengetahui bagaimana untuk menguruskan wang dengan baik dan teratur, secara tidak langsung ianya akan membantu kedudukan kewangan kita berada dalam keadaan yang lebih baik dan menguntungkan.
Pengetahuan ini amat penting dalam kehidupan kita kerana tanpanya sudah pasti hidup kita dilanda masalah kewangan yang membebankan.
Kita dapat lihat, mereka yang berhadapan dengan masalah adalah terdiri daripada mereka yang tidak tahu atau dengan lain perkataan tidak memilki ilmu pengetahuan tentang pengurusan kewangan, baik simpanan, perlindungan insurans/takaful dan juga pelaburan.
Untuk menguruskan kewangan, kita tidak perlu menjadi seorang yang pakar dalam kewangan atau memiliki Master untuk menguruskan kewangan dengan baik, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu menguasai asas-asasnya, itu sudah memadai.
Bagi tahap keperluan yang lebih advance kita serahkan sahaja kepada pakar. Apa gunanya jika kita tahu tapi kita gagal melaksanakannya. Apa gunanya jika kita menguasai teori tetapi gagal dalam pelaksanaannya.
Begitulah juga keadaannya dalam menguruskan kewangan terutama sekali dalam membuat simpanan, menguruskan hutang, membeli polisi insurans/takaful dan membuat pelaburan.
Memadailah untuk kita mengetahui beberapa asas-asas kewangan yang betul (termasuk pengetahuan untuk menyediakan pelan perancangan) apa yang lebih penting kita sanggup untuk mematuhinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan